PENUTUP
Pengembara di atas jalan kepada kebenaran mestilah mempunyai kebijaksanaan, kefahaman dan pengertian yang mendalam akan fitnah sesuatu. Ini semua merupakan kelayakan awal yang perlu dimilikinya.
“Allah ciptakan hamba bijaksana dan berkebolehan
yang meninggalkan dunia tempat huru hara
mereka ke laut yang hanya ombak menjadi ujian mereka
perbuatan baik adalah kapal yang menempuh gelombang”.
Orang memasuki jalan ini kerana ada matlamat yang dia tuju. Perhatiannya tetap teguh kepada matlamat namun, dia tidak boleh abaikan pentingnya persiapan untuk pengembaraan ini. Bila dia mempersiapkan diri dia mesti berjaga-jaga jangan ditipu oleh rupa yang menawan dan dia mesti tidak membebankan dirinya dengan muatan atau menjadikan perhentian atau setesen kerohanian sebagai matlamat terakhir.
Orang yang berada pada jalan kerohanian mengatakan segala perbuatan kepunyaan Yang Menciptakannya, manusia tidak sepenuhnya bertanggungjawab; di dalam tangannya perbuatan boleh kelihatan lain daripada apa yang sebenarnya. Allah berfirman:
“Apakah mereka (berasa) aman (daripada) percubaan Allah? Kerana tidaklah ada yang berasa aman daripada percubaan Allah melainkan kaum yang muflis”. (Surah al-A’raaf, ayat 99).
Inilah dasar bagi jalan ini; meninggalkan semua muatan di belakang dan bergantung kepada Allah semata-mata, tidak dibingungkan oleh rangsangan pada setesen-setesen di sepanjang perjalanan. Dalam hadis Qudsi Allah berfirman:
“Wahai Muhammad! Sampaikan khabar gembira kepada pendosa-pendosa yang Aku Maha Pengampun. Tetapi sampaikan kepada mereka yang benar-benar kepunyaan-Ku dan ikhlas pada niatnya untuk-Ku bahawa Aku sangat cemburu (terhadap apa yang mereka inginkan di samping Aku)”.
Kekeramatan yang zahir pada mereka yang hampir dengan Allah dan Setesen kerohanian yang mereka nyatakan adalah benar. Tetapi orang-orang yang seperti ini masih tidak terlepas daripada rangsangan Allah dan ujian-Nya merangsang kepada dosa – kadang-kadang mereka diberi kejayaan bila mereka mula berbuat dosa, jadi mereka fikir suasana atau keadaan mereka adalah milik mereka dan kekeramatan itu juga milik mereka. Hanya nabi-nabi dan mukjizat mereka yang bebas daripada ujian demikian. Adalah dikatakan ketakutan kehilangan iman ketika tercabut nyawa dari badan adalah satu-satunya penjagaan yang akan menjamin iman pada saat akhir.
Hassan al-Basri pernah berkata bahawa kepada orang yang hampir dengan Allah berjaya melalui ketakutan mereka terhadap Allah. Di dalam diri mereka takut jauh lebih kuat daripada harap kerana mereka tahu bahayanya diperbodohkan oleh sifat semula jadi manusia. Tipu daya ini menarik manusia keluar daripada jalan tanpa mereka menyedarinya. Dia juga berkata orang yang sihat takutkan penyakit dan harapannya adalah sedikit, sementara orang yang berpenyakit tidak lagi takutkan ditimpa penyakit dan harapannya untuk sihat bertambah.
Nabi s.a.w bersabda, “Jika ditimbang takut dan harap pada orang beriman kedua-duanya adalah sama”. Dengan rahmat Allah, ketika saat akhir kita, Allah lebihkan harapan kita daripada ketakutan. Nabi s.a.w bersabda, “Semua umatku akan menghembuskan nafas terakhirnya dengan kepercayaan dan harapan kepada rahmat Allah”, kerana Allah menjanjikan, “Keampunan-Ku meliputi segala-galanya”, dan, “Rahmat-Ku mendahului murka-Ku”.
Allah Maha Pemurah, Penyayang dan Pengampun, tentu sekali para hamba boleh bergantung kepada-Nya. Namun pengembara pada jalan kerohanian mesti takut dan menyelamatkan dirinya daripada kemurkaan Allah. Untuk itu perlu dia serahkan semua yang dimilikinya – dirinya sendiri, kewujudannya – letakkan segala-galanya di kaki-Nya dan berlindung dengan-Nya di dalam-Nya.
Wahai pencari. Duduklah di atas lutut kamu di hadapan Tuhan kamu! Akui dan bertaubat terhadap kesalahan-kesalahan kamu! Tanggalkan daripada diri kamu segala kewujudan kebendaan! Akui dan bertaubat daripada dosa-dosa kamu yang lalu dan nantikan di pintu keampunan-Nya tanpa membawa apa-apa, dalam keadaan berhajat penuh kepada-Nya! Jika kamu lakukan ini tentunya kamu akan menerima rahmat-Nya, berkat-Nya, makrifat-Nya, kasih-Nya dan belas kasihan-Nya; dan semua dosa-dosa kamu dan kekotoran kamu akan hancur dan terlucut daripada kamu. Kerana Dia jualah Maha Besar, Pemurah, Penyayang, Tuhan yang kekal abadi, Maha Berkuasa!
Kami memohon keselamatan dan kesejahteraan ke atas penghulu kami Nabi Muhamamd s.a.w, keturunan baginda, sahabat-sahabat baginda dan sekalian pengikut baginda. Segala puji dan syukur kepunyaan Allah; kami serahkan segala-galanya ke dalam tangan-Nya.
Amin...